Kpg Delek
Klang
Ramadhan 1433H
Bagi mendidik dan melatih warga terpilih untuk menyambar peluang keemasan yang lazimnya berlalu begitu sahaja tanpa usaha terfokus untuk dimanfaatkan, program disusun sarat memenuhi satu minggu di bulan Ramadhan di Kpg Delek. Rasionalnya sebagai kampung tradisi yang sudah melebihi usia 112tahun dipilih untuk menjadi projek perintis baldatun tayyibatun wa rabbun ghafuur atau Mini Serambi Mekah . Ia juga merupakan inkubator bagi projek pembangunan modal insan negeri Selangor yang boleh dikenali sebagai S.P.I.E.S.TM d'village.. Ini bermaksud segala perancangan dan teori untuk membangunkan insan secara holistik untuk melahirkan masyarakat cemerlang yang bertunjangkan visi hidup sebenar.
Semua pucuk pangkalnya berkisar kepada tasawwur yang jelas. Keyakinan kepada kebahagiaan hakiki yang menuntut pelaburan dan pengorbanan berkonsep 'delayed gratification' akan melentur hati manusia ke arah hidup yang penuh makna kerana dirancang dan di isi secara SEDAR dengan program hidup bermatlamat.
Pola hidup berorientasi dwi-kejayaan yakni bukan sahaja di dunia bahkan juga yang lebih kekal dan utama di akhirat mesti ada BUKU MANUAL KEHIDUPAN LENGKAP yang perlu dikaji. Kalau manusia biasa menghabiskan masa bertahun-tahun hanya mahu mendapat secebis ilmu namanya IJAZAH, MASTER, PHD yang kekadang tidak membantu pun dalam kehidupan mereka sebenar inikan pula untuk mendapat nikmat, rezeki, kelazatan, keseronokan abadi di akhirat dan merasa bahagia di dunia sudah tentu perlu MENGKAJI lebih dalam segala aspek tentang hidup ini.
Tidak guna hanya mengaji dan mengkaji sekiranya tidak timbul kesedaran untuk beramal dan bertindak dengan ilmu yang telah diperolehi. Mana mungkin seseorang insan mampu beramal dan melaksanakan ilmunya sekira ia belum sampai tahap yang betul-betul mantap dan yakin dengan ilmu itu. Sekiranya maklumat diperolehi daripada pelbagai sumber dan konon ilmu sudah disahkan ada di kepalanya kerana sudah ada ijazah dan bukti 'kertas' yang lain. Hakikatnya, ilmu di kepala tidak semesti boleh menerobos ke hatinya. Banyak contoh manusia yang 'berilmu', jiwanya masih celaru.Pertuturan, tingkah laku dan perbuatan serta sikapnya menunjukkan kecelaruan itu. Sekiranya menghafal ayat-ayat tauhidik tetapi rebah bila diuji dengan kekurangan benda fizikal adalah tanda ayat tauhidik diperlakukan sebagai ayat ayat puisi biasa.Bukan kalamullah.
Berapa ribu kali cuping telinga di tembusi panggilan kepada kemenangan, rahsia kemenangan yakni ketika panggilan azan?? Berapa orang yang mengalami wajilat qulubuhum ketika mendengar nama Malikal mulk, yakni Raja yang menguasai segala kerajaan dan kekuasaan.Tetapi majoriti manusia yang sama ini akan gerun dan takut kepada manusia serupa dengan dirinya tetapi yang Allah beri sedikit material lebih. Walaupun manusia tahu bahawa leimpahan benda fizikal ini boleh dihilang sekelip mata oleh kuasa 'Kun' MAKA FAYAKUN. jadilah ia. Samada berupa yang menjadi kuasa penyebab itu api yang menyebab kebakaran, angin yang boleh menerbangkan harta benda dan manusia bahkan air yang boleh menenggelamkan atau hanya gegaran bumi yang mengakibatkan runtuh harta benda seperti berlaku ketika tsunami.
Maka sudah tiba masanya, wewenang negeri Selangor memulakan langkah menyusun program yang melorongkan rakyatnya untuk cenderung kepada patuh kepada set peraturan Penciptanya. Bulan Ramadhan adalah bulan terbaik untuk melakukan perubahan set minda, set hati agar memungkinkan pertumbuhan dan perkembangan optima rohaninya yang merupakan PENENTU kebahagiaan atau kecelakaannya.
Juster, Program RAMADHANku Yang Bermakna@ Meaningful Ramadhan Experience cuba membawa arus HIDUP SECARA SEDAR dan bukan manusia yang berjiwa robot dan berakal beku dengan roh terseksa yang menjelmakan manusia yang lebih bersifat kehaiwanan bahkan kekadang kesyaitanan.
Program ini telah alhamdulillah berjaya mengumpulkan golongan tua muda, pelajar UNISEL/KUIS/INPENS serta pelajar tahfiz dan kanak-kanak prasekolah termasuk ibubapa serta alumni SPIES remaja untuk memenuhi program yang dilaksanakan dengan pendekatan yang berbeza.
Alhamdulillah, sambutan yang amat menggalakkan sepanjang program. Bumi Kpg Delek menyaksi air tangan sasterawan negara A. SAMAD SAID berpuisi memuji Tuhan, Dinsman INSTRUMENTAL dalam membawa budaya Islamik melalui lorong kesenian, mantan Pengarah CID Malaysia yang menyokong hududullah sebagai penyelesaian gejala sosial, mantan Pengarah Jabatan Pelajaran Perak, Dr Ann Wan Seng, Us Ahmad Awang(mantan YDP Persatuan Ulamak Malaysia) di KOLEJ INTEGRASI TAHFIZ TUNAS ILMUWAN SELANGOR(KITTIS) dan banyak lagi.
Di sini juga BRIGED AMAL SELANGOR menyimbah peluh berbakti. AJK Masjid dan surau semuanya mengguna tulang empat kerat paling banyak di Ramadhan kali ini.Kaum Muslimat
cergas ke hadapan demi mendokong satu harapan.JKKK bak lipas kudung mendukung misi berat membangunkan ummat berpaksi akhirat. Pemuda menyinsing lengan bersama derap pembangunan. Warga emas termasuk NGO BAKARA(BADAN kebajikan Pesara) menadah tangan berdoa agar hajat kesampaian dan mereka kesempatan menyaksikan masyarakat yang mendarahdagingkan aqidah Islamiyyah.
Pengasas gagasan merentasi dimensi dunia akhirat ini, ADUN Selat Klang merangkap EXCO Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan Kerajaan Selangor , YB Dr Hjh Halimah Ali mahu meninggalkan satu legasi. Legasi yang merupakan langkah perintis ke arah terbentuknya khaira ummah. Terwujudnya muka bumi kecil di Selangor khususnya DUN Selat Klang yang tunduk patuh kepada syariat tulen. Yang dijanjikan akan menjadi makmur dan berkat kerana mendapat keampunan dan kerahmatan dari Tuhan Yang Esa......baldatun tayyibatun wa rabbun ghafur yang digelar Mini Serambi Mekah @ Kpg Delek.Amiin.
No comments:
Post a Comment